BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, March 13, 2010

Makanan dan Hidangan di Johor

Masakan dan hidangan di Johor kebanyakkannya dipengaruhi dari Arab dan kepulauan-kepulauan Melayu. Terdapat sesetengah makanan ini, yang ramuannya begitu unik dan begitu sukar di dapati di negeri-negeri lain di Malaysia. Hanya di keraian-keraian tertentu sahaja makanan yang unik dini biasanya boleh didapati dan adakalanya anak Johor sendiri tidak mengenalinya.
Antara hidangan dan makanan yang menjadi lambang negeri Johor adalah seperti:
Laksa Johor ~ makanan yang berasal dari Johor. Ianya berbeza dari laksa penang kerana menggunakan santan kelapa untuk kuahnya.
Mi bandung ~ juga masakan yang berasal dari negeri Johor dan amat terkenal di Muar. Perkataan ‘bandung’ tidak berasal dari Bandung, Indonesia tetapi membawa maksud pelbagai bahan-bahan yang disatukan dari pelbagai rencah.
Mi rebus ~ adalah makanan terkenal yang terkandung mi yang di celur dan di hidangkan bersama kuahnya tersendiri, telur rebus dan bahan sampingan.
Arisa ~ adalah makanan unik yang jarang-jarang di temui sekali pun di Johor. Ianya biasa di hidangkan ketika majlis-majlis rasmi bagi golongan elit.
Sate ~ makanan kegemaran yang buakan lagi menjadi kegemaran warga Johor malah Malaysia. Daging lembu atau ayam berempah (kini dengan pelbagai jenis daging seperti rusa dan kambing) yang di bakar ini, boleh diperolehi di dalam mana-mana sahaja sekitar Johor.
Telur pindang ~ amat popular di majlis-majlis perkahwinan. Telur pindang ini adalah telur ayam yang di rebus selama beberapa jam bersama-sama rempah dan daun-daun.
Roti Kirai/Roti Jala ~ Nama ini bersesuaian dengan rupanya yang seakan jala. Ianya di buat daripada adunan tepung dengan menggukan bekas acuan yang berlubang dan di masak di kuali leper. Kari ataupun serawa (santan yang di masak bersama gula merah/melaka dan daun pandan) menjadi sos yang dimakan bersama.
Kacang pol
Kuih Sirat
Pisang Salai

Otak-otak ~ Antara otak-otak yang terkenal adalah ‘otak-otak kempas’ dan ‘otak-otak gelang patah’.
Nasi beriani Gam ~ Amat terkenal di daerah Batu Pahat
Soto ~ Boleh dimakan dengan mee mahupun nasi empet
Burasak ~ sejenis makanan orang-orang bugis. Beras yang di bungkus dengan menggunakan daun pusang muda dan di masak besama santan. Boleh di dapati pada hari perayaan samada hari raya puasa atau hari raya korban.
Halwa Maskat
Kerutup Ikan
Asam pedas daun kesum
Pecal
Tauhu bakar
Pendaram
Rojak petis

Pengaruh masakan Jawa juga banyak menyumbang kepada masakan Johor. Antaranya nasi ambeng, lontong dan ungkep. Nasi ambeng adalah nasi yang dihidangkan ketika majlis yasin ataupun tahlil. Hidangan ini biasanya di sediakan untuk empat orang yang akan makan di dalam satu hidangan yang sama di mana terdapat campuran lauk termasuk serunding kelapa, mi, ikan kering dan sebagainya.
Tidak ketinggalan juga, bontrot/berkat yang datangnya dari bahasa Jawa yang membawa maksud nasi yang dibungkus atau di sediakan bagi tetamu untuk di bawa pulang apabila menghadiri majlis (perkahwinan, yasin atau tahlil).

Friday, March 12, 2010

Pakaian Tradisional Johor

Baju Belah Kebaya Panjang
Walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung, tetapi dalam acara majlis, mereka muncul juga dengan memakai kebaya, sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau. Pola baju belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Cuma bezanya ianya berbelah dan berpesak di hadapan baju ini, umumnya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi. Baju belah panjang ini terkenal di Melaka, Perak, Selangor dan Kedah-Perlis. Baju kurung belah ini kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’ dan ‘kebaya panjang’. Tradisi ini berkembang menjadi kebaya dan bertangan panjang berpesak lurus di hadapan, berkekek dan berbelah dada yang di tutup dengan kancing atau kerongsang tiga.

Baju Melayu Cekak Musang
Istilah ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju, tengkuk ‘cekak’ tinggi atau leher tegak empang leher. Pengertian ‘cekak musang’ merakamkan imej alami untuk leher baju yang bercekak tinggi berdiri [2.5 cm] melingkari leher. Ukuran ditentukan oleh lingkaran [bulat] yang dibuat dengan ibu jari lain yang bertemu hujungnya. Baju ini mula dipakai di Johor ketika pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar.

Baju Teluk Belanga
Baju ini mula di perkenalkan di Teluk Belanga, Singapura dan tersebar luas sebagai ciri khas johor khususnya pada abad ke-19. Walau bagaimanapun istilah ini akhirnya menjadi ciri khas masyarakat Melayu hingga di sebut selengkapnya ‘Baju Melayu’.

Baju Kurung
Baju kurung dianggap popular dan dipakai oleh lelaki dan perempuan. Perbezaannya terletak pada bahagian kocek iaitu lelaki mempunyai tiga kocek manakala perempuan mempunyai satu kocek serta perbezaan daripada segi pemakaian. Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam, sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Sehingga disebut dengan berbagai-bagai nama misalnya ‘baju kurung bernyawa’ walaupun mempunyai pelbagai nama namun baju kurung telah menampilkan ciri-ciri tersendiri.

Baju Riau
Baju ini baju berbelah di hadapan seakan-akan kebaya pendek. Baju Riau di sebut juga pakaian ‘Engku Puteri atau Raja Hamidah’ puteri pada Raja Haji iaitu Yang Dipertuan Muda Riau yang kelima dari keturunan Bugis.

Thursday, March 11, 2010

Muzik Tradisional Johor

Muzik Ghazal
Ghazal merupakan satu kesenian tradisional masyarakat Melayu Negeri Johor yang popular dewasa ini.Pada peringkat permulaannya, seni muzik ghazal ini disebut sebagai qamat yang bererti nyanyian dan beriuh rendah dikatakan berasal dari Tanah Arab.
Pada akhir abad ke-19, apabila kerajaan Johor menjalin hubungan yang erat dengan kerajaan Riau-Lingga, beberapa orang dari golongan bangsawan Johor sering berulang-alik ke Riau. Mereka sering dihiburkan dengan permainan ghazal. Ada di antara mereka itu telah mempelajari kesenian ini dan memperkenalkan kesenian ini di istana Sultan Johor yang pada ketika itu berada di Teluk Belanga,Singapura. Di Istana Teluk Belanga, kesenian muzik ghazal ini telah mendapat perhatian daripada sultan, pembesar-pembesar negeri dan lain-lain golongan istana. Justeru itu, perkembangan ghazal ke peringkat rakyat jelata menjadi cepat dan pesat. Apabila pentadbiran Johor berpindah dari Teluk Belanga ke Tanjung Puteri, kesenian ini turut diperkembangkan dengan lebih pesat lagi di Tanah Besar Johor.
Perkembangan seni muzik ghazal di Negeri Johor sering dikaitkan dengan nama Allhayarham Datuk Bentara Luar, Mohd. Salleh Bin Perang. Semasa membuka daerah-daerah baru di Johor, Datuk Bentara turut juga memperkenalkan seni ghazal dimainkan di rumah-rumah penghulu dan juga pada hari-hari keramaian tertentu.Selain daripada Allahyarham Datuk Bentara Luar, ramai lagi pembesar istana yang turut menyumbangkan tenaga dalam memperkenalkan kesenian muzik ini. Di antaranya ialah Ungku Ahmad Bin Mohd. Khalid (Ungku Chik), Ungku Mohammed Bin Mohd. Khalid , Ungku Sulaimen Bin Daud, Ungku Abdul Aziz Bin Abdul Majid dan Encik Dapat.
Di tengah-tengah arus perkembangan seni muzik ghazal di Johor pada ketika itu muncullah Haji Musa Bin Yusof atau lebih di kenali dengan panggilan Pak Lomak. Pak Lomak adalah cucu kepada Datuk Bentara Luar. Sebagai seorang anak yang lahir di tengah-tengah keluarga mencintai seni ghazal, Pak Lomak tidak dapat memisahkan dirinya daripada seni ini. Beliau telah mempelajari seni muzik ghazal ini dengan begitu mendalam sekali. Ditinjau daripada sudut sejarah perkembangan seni muzik ghazal di Johor dari tarikh perkembangannya bermula dari tempat asalnya di Tanah Arab hingga ke zaman Pak Lomak, perkembangan seni muzik ini telah melalui satu penjelajah yang agak panjang dan mengambil masa yang lama.
Peralatan muzik ghazal pada mula-mulanya terdiri daripada Peti Harmonium, Biola, Gambus dan Tabla atau Do(Gendang). Kemudian alat-alat ini ditambah lagi dengan beberapa jenis alat muzik yang sesuai seperti gitar, kecepi Jepun, Keroncong dan Marakas. Setelah itu dicampurkan dengan alat muzik yang lain seperti ukeleli dan sebagainya tetapi oleh kerana terlampau riuh dan mengganggu serta boleh menghilangkan silau dan lemah lembut lagu-lagu Melayu maka alat-alat itu dibatalkan. Hanya alat-alat yang dinyatakan di bawah ini sahaja di gunakan sebagai Muzik Ghazal Melayu Johor yang tradisional iaitu:-
Harmonium, alat muzik tradisional yang berasal dari India ini penting bagi Ghazal Melayu Johor.
Satu set alat tabela (tabla) yang juga merupakan alat muzik yang berasal dari India . Yang kecil dinamakan Din dan yang besar dinamakan Bam.
Gambus alat muzik yang berasal dari Timur Tengah ini merupakan alat muzik bertali yang perlu ada dalam Ghazal Johor.
Gitar sejenis alat muzik yang perlu untuk permainan Ghazal Melayu Johor. Alat jenis bertali ini sebagai alat melodi atau rentak.
Tamborin alat muzik perkusi yang menggantikan alat keroncong diperlukan sebagai alat tempo dan rentak.
Marakas sejenis alat perkusi yang diperlukan sebagai alat rentak dan tempo.
Violin alat muzik ini kecil sedikit daripada biola , tetapi biasanya disebut oleh orang-orang Melayu dengan sebutan biola sahaja. Alat jenis bertali ini adalah salah satu alat muzik dalam permainan Ghazal Melayu Johor.

Wednesday, March 10, 2010

Tarian Tradisional di Negeri Johor

Tarian Kuda Kepang
Kuda kepang merupakan satu permainan tradisi yang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya yang berketurunan Jawa. Kuda kepang berupa satu patung anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang dicorakwarnakan untuk menjadi lebih menarik.
Lazimnya satu kumpulan kuda kepang mempunyai 10 hingga 15 orang penari. Salah seorang daripada mereka bertindak sebagai ketua (dayang). Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini.
Ada pendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa,Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Dalam peralihan waktu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan kuda sebenar.Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.
Pendapat lain pula menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan. Seekor kuda kayangan bernama Kuda Sembrani dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa mereka menari-nari keseronokan. Menurut kepercayaan, kuda kepang dikuasai oleh sejenis kuasa ghaib. Lantaran itu, satu upacara khas perlu dilakukan sebelum bermain. Jika ia gagal dilakukan mungkin sesuatu yang tidak diingini akan menimpa para pemain dan juga penontonnya. Upacara ini bermula dengan istiadat memuja roh. Setelah itu bomoh akan menjampi untuk istiadat membuka gelanggang yang biasanya berukuran 40m x 60m.
Bomoh juga akan menyediakan sajian untuk penunggu. Sajian itu ialah kelapa, beras, pisang masak, kemenyan, kain putih, jarum, benang, ayam putih, padi, telur dan bunga rampai. Bilangan minima penari ialah sembilan orang dan maksimanya 15 orang. Penari-penari ini biasanya terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Tarian dicipta oleh guru yang mengajar kumpulan itu sendiri. Tarian-tarian yang selalu dipersembahkan ialah tarian Sola, Selendang,Pak Tani, Pucuk Rebung, Perjuangan, Mempertahankan Diri dan sebagainya. Lenggang-lenggok di dalam tarian ini dinamakan Lenggang Kiprah.
Satu perkara yang menarik di dalam tarian ini ialah kerana seringnya terdapat beberapa orang penari akan naik syeikh (mabuk) setelah persembahan rasmi tamat. Mereka yang “naik syeikh” ini boleh melakukan gerak geri aneh yang pasti tidak dapat dilakukan dalam keadaan siuman. Umpamanya, melompat setinggi enam atau tujuh kaki, meniti diatas sebatang buluh atau kayu licin ataupun seutas tali, juga mengupas kelapa dengan gigi. Semasa penari-penari sedang “naik syeikh” , bunyi-bunyian pengiring penari akan terus dimainkan. Jikalau tidak mereka naik berang dan menerkam pemain-pemain bunyi-bunyian tersebut.
Apabila gerak langkah penari-penari itu semakin liar dan tidak dapat dikawal, bomoh akan membaca mentera ke ubun-ubun atau telinga mereka setelah mereka ditangkap dan direbahkan oleh pegawal-pegawal yang cekap.Setelah itu mereka akan pulih dalam keadaan letih lesu. Adalah dipercayai bahawa selain dari hiburan, tarian kuda kepang juga boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit ganjil seperti dirasuk hantu,diresapi roh orang mati dan sebagainya.
Dipercayai juga bahawa kuda kepang ini hendaklah diletakkan disuatu tempat khusus.Jika diletakkan di sembarangan tempat roh kuda kepang itu akan mengamuk dan merosakkan pertunjukan-pertunjukan yang akan datang. Alat bunyi-bunyian yang sering mengiringi tarian kuda kepang ialah angklong (alat utama), gendang, gong ( berbentuk bulat dan diperbuat dari gangsa), kinong (seperti gong tetapi lebih kecil), jidor ( seperti rebana besar), soron kecil (dibuat dari tembaga yang dititik supaya melengkung dan lekuk seperti ruas buluh) dan bonang (dibuat dari tembaga,ditengahnya bonjol bulat kira-kira lapan garis pusat). Bagaimanapun tidak semua alat ini digunakan dalam satu-satu tarian. Pemilihannya terletak kepada budi bicara kumpulan-kumpulan berkenaan .Bentuk pakaiannya pula terserah kepada kehendak kumpulan tetapi ia hendaklah seragam.

Tarian Zapin
Salah satu bentuk tarian pergaulan masyarakat Melayu yang masih utuh dan popular dewasa ini ialah tari zapin. Dari perspektif sejarah perkembangannya tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar senitari di Malaysia ini telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Namun demikian banyak antara genre zapin tradisional ini tersebar hanya ke daerah-daerah tertentu sahaja dan salah satu daripada genre zapin tradisional yang dinamik dan anggun dikatakan masih terdapat di negeri Johor.
Di Johor zapin yang dikenali dalam dua bentuk iaitu Zapin Melayu dan Zapin Arab memperlihatkan perbezaaan dari segi unsur peradaptasiannya. Pada realiti kedua-duanya genre zapin itu berasal dari satu keseniaan masyarakat Arab yang di bawa Hadramaut. Keunikan tradisi Zapin Melayu terletak bukan sahaja pada kesatuan muzik dan peralatannya yang dipengaruhi oleh keseniaan Arab bahkan juga pada sifat segretasi penari dan penonton. Dalam konteks inilah keunikan tarian zapin begitu terserlah terutamanya pada ciri penghubungannya dengan keseniaan Islam yang dibawa oleh orang-orang Arab. Di Johor Tarian Zapin yang sudah diterima sebagai seni yang berunsur Islam yang berfungsi sebagai hiburan sama ada pada acara-acara sekular mahupun acara sambutan hari-hari kebesaran. Namun dari segi kelembutan dan kehalusan tradisi tarian itu sendiri, Zapin Melayu Johor walaupun ianya lahir dari adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif namun tidak dapat disangkal lagi tarian zapin ini memperlihatkan lebih kehalusan dan keayuan geraknya dari Tarian Zapin Arab.
Satu hal yang menarik mengenai tarian Zapin Johor ialah keupayaan mewujudkan rasa persaudaraan penari dan pemuzik serta sifat esprik decorps yang dapat dimunculkan di kalangan mereka sekali gus mematahkan rasa malu penari-penari apabila menari di khalayak ramai. Secara simbolik gerak tari zapin ini menampakkan kepentingan usaha bersama dan bukannya usaha individu disamping meminggirkan persaingan antara pemain-pemain dalam kumpulan mahupun antara kumpulan, Ditinjau dari perspektif inilah, keunikan dan keistimewaan tarian Zapin Johor terserlah.

Tarian Barongan
Barongan menggambarkan kisah-kisah di zaman Nabi Allah Sulaiman dengan binatang-binatang yang boleh bercakap. Kononnya, seekor harimau telah terlihat seekor burung merak yang sedang mengembangkan ekornya. Apabila terpandang harimau, merak pun melompat di atas kepala harimau dan keduanya terus menari. Tiba-tiba Pamong (Juru Iring) bernama Garong yang mengiringi Puteri Raja yang sedang menunggang kuda lalu di kawasan itu. Pamong lalu turun dari kudanya dan menari bersama-sama binatang tadi. Tarian ini terus diamalkan dan boleh dilihat terutamanya di daerah Batu Pahat, Johor.

Tarian Ceracap Inai
Tarian ini ada hubungannya dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, semasa baginda mudik ke hulu Sungai Muar. Tarian ini terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga di Daerah Muar.
Adalah dipercayai Tarian Ceracap Inai ini berasal dari tarian istana dan ditarikan di hadapan Sultan dan Pembesar-pembesar negeri di dalam sesuatu keramaian.Oleh kerana itu, Tarian Ceracap Inai ada unsur-unsur ‘sembah’/Ampun, merendahkan diri dan ditarikan pula kebiasaannya di hadapan ‘Raja Sehari’/Pengantin. Ditarikan dengan membawa prob seperti ‘Bunga-bungaan Emas’ dan bercahayakan api lilin yang memberikan erti membawa kepada sinaran kebahagiaan dan kesejahteraan. Tarian ini asalnya ditarikan oleh bilangan penari yang ganjil atau ditarikan berpasangan oleh penari lelaki dan wanita dan boleh juga ditarikan oleh penari-penari wanita sahaja, Bilangan penari biasanya terdiri dari 5 - 8 orang.

Tarian Sarah
Dengan iringan muzik berirama Padang Pasir yang rancak, Tarian Sarah, ditarikan dalam suasana riang gembira. Tarian ini terkenal di kalangan Masyarakat Johor yang berketurunan Arab di Daerah-daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar.
Di Johor, Tarian ini kebiasaannya ditarikan oleh pasangan lelaki sahaja. Mereka menari beriringan dengan gerakan yang sama dan dalam satu tempo lagu berirama Samrah, pasangan penari dapat menari secara bergantian dan ini membolehkan pasangan pertama tadi berehat dan diganti dengan pasangan berikutnya dan demikianlah seterusnya. (Tarian ini boleh juga ditarikan oleh penari wanita tetapi di ruang yang berasingan dan tertutup dan dikhaskan untuk penonton wanita sahaja). Tarian ini juga ditarikan di majlis-majlis keraian dan di majlis-majlis kekeluargaan seperti majlis kesyukuran dan perkahwinan. Tarian ini juga ada kalanya berlarutan hingga jauh malam.

Tuesday, March 9, 2010

Fakta Menarik Negeri Johor

Askar Timbalan Setia
Johor adalah negeri yang pertama memiliki pasukan tenteranya sendiri dan satu-satunya pasukan tentera yang dibiayai oleh kerajaan negeri yang masih kekal hingga kini yang dinamakan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Askar Timbalan Setia adalah satu pasukan tentera yang ditubuhkan semasa pemerintahan Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar , Sultan Johor Darul Takzim.
Antara mereka yang telah berkhidmat dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah:
DYMM Sultan Iskandar Alhaj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail menerima latihan ketenteraan dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Baginda juga merupakan penyandang jawatan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia Ke-3 Tun Hussein Onn juga pernah menyertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun , India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke 19 di India.
Jeneral(B) Ibrahim bin Ismail - bekas Panglima ATM Jeneral (B) Ibrahim Bin Ismail pernah menyertai dan berkhidmat sebagai kadet dalam Askar Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke-19 di India.
Ungku Ahmad bin Abd Rahman Salah seorang daripada 3 orang yang dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India
Dato Onn Jaafar
Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid, bapa kepada YM. Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid pernah menjadi seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor dan mencapai pangkat Mejar dalam tahun 1926.

Asal Usul Jalur Gemilang
Rekabentuk Jalur Gemilang/Bendera Malaysia sekarang adalah hasil ilham dari salah seorang rakyat dan arkitek kerajaan Negeri Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.
Pemilihan rekabentuk bendera tersebut bermula dari satu pertandingan bagi merekabentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.
Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29 November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk ciptaan En. Mohamad bin Hamzah.

Penulis Asal Sejarah Melayu
Penulis asal Sejarah Melayu adalah Tun Sri Lanang yang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Tun Seri Lanang ialah Bendahara Paduka Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615 , serta penyunting Sejarah Melayu (buku, 1612) yang merupakan moyang kepada Sultan Johor dan Sultan Terengganu .
Salasilah kesultanan Terengganu yang terdapat dalam Sejarah Terengganu (buku) karya Haji Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1974 ada menyatakan bahawa Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Seri Maharaja, Johor - Marhum Padang Saujana - Bendahara Johor 1688-1697) yang menjadi Bendahara Johor dari 1688 hingga 1697 adalah bapa kepada Sultan Zainal Abidin I (Sultan Terengganu Pertama) dan kepada Sultan Abdul Jalil IV (Sultan Johor dari 1699 hingga 1719 ). Selanjutnya dipaparkan bahawa Tun Habib Abdul Majid adalah anak kepada Tun Mat Ali (Bendahara Paduka Maharaja, Johor), iaitu anak kepada Tun Seri Lanang (Bendahara Paduka Raja, Johor 1580-1615).
Dalam pengetahuan orang-orang Melayu , nama Tun Seri Lanang lebih dikenali sebagai salah seorang bijak pandai dan pengarang ulung bangsa Melayu yang setaraf dengan Munshi Abdullah (Pengarang Hikayat Abdullah).

Penubuhan UMNO
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu/United Malay National Organisation ditubuhkan pada tahun 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru, Johor. di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar. Detik bersejarah tersebut bermula dengan satu perhimpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 Mac hingga 4 Mac 1946 dan seramai 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing.
Dato Onn bin Jaafar daripada Persatuan Melayu Johor telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Hampir semua wakil pertubuhan telah berucap termasuk dua orang wakil kanak-kanak.
Tiga usul telah diluluskan oleh Kongres seperti berikut:
Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
Membantah pertubuhan Malayan Union
Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu sahaja.
Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dipilih untuk menyediakan draf piagam atau Perlembagaan UMNO untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya kelak.
Walaupun ada bantahan yang hebat daripada kaum Melayu , Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka dan pada 1 April 1946 menubuhkan Malayan Union. Orang-orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu terus membangkang dan tidak memberi sebarang sokongan terhadap Malayan Union. Pada 11 Mei 1946, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dan Perlembagaan UMNO telah diterima dan diluluskan oleh para peserta. Maka UMNO pun lahirlah secara rasmi.

Monday, March 8, 2010

Asal Usul Nama Tempat di Negeri Johor

Wujudnya nama sesuatu tempat bergantung kepada beberapa sebab. Adan yang berpunca daripada kepercayaan atau cerita-cerita lisan (Kampung Batu Badak). Ada yang berasal daripada alam semulajadi seperti keadaan sekitar (Kukup), haiwan (Rengit) atau tumbuh-tumbuhan (Gunung Pulai) dan ada mengambil sempena nama tokoh-tokoh tempatan (Tenang). Sesetengah nama tempat pula lahir daripada peristiwa yang berlaku di tempat itu (Gelang Patah). Suatu hal yang menarik ialah perubahan yang berlaku kepada sebutan nama sesuatu tempat itu. Ada kalanya ia merupakan singkatan kata, pengubahan bunyi atau kepilatan sebutan.

Batu Pahat
Nama Batu Pahat dikatakan dari peristiwa memahat batu untuk mendapat bekalan air tawar di pantai Minyak Beku yang terletak di Kuala Sungai Batu, Batu Pahat. Kerja ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (Orang-orang Muslim Pattani Siam ) di bawah pimpinan Awi Dicu dalam abad ke-15 sewaktu hendak menyerang Melaka. Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang. Kesan ini dikenali sebagai Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat. Pusat bandar bagi daerah Batu Pahat ialah Bandar Penggaram. Nama Penggaram itu dikatakan berasal daripada ‘pangkal jeram’, kerana terdapat jeram di sebuah sungai kecil yang mengalir dari bukit belakang bandar tersebut.

Muar
Muar lahir daripada perkataan ‘muara’ iaitu kuala sungai. Ini disebabkan oleh penempatan awal di kawasan tersebut terletak di muara Sungai Muar. Sungai Muar terkenal sejak zaman silam kerana sungainya yang lebar membolehkan para pelayar berlindung di musim gelora. Pelarian Raja Iskandar Syah (Parameswara) dari Singapura setelah dialahkan Majapahit pada awal abad ke-15 menggunakan sungai ini. Demikian pula apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, raja dan para pembesar Melaka melarikan diri melalui Sungai Muar.
Versi lain mengenai kewujudan nama tersebut ialah daripada perkataan ‘muak’ (jemu dan ‘mu-aru’ (Bahasa Tamil) bermaksud tiga sungai.
Bandar Maharani yang menjadi pusat bandar utama daerah Muar mendapat nama sempena nama Permaisuri Maharaja Abu Bakar pada 12 Ogos 1887. Oleh kerana pada masa itu Sultan Abu Bakar masih memakai gelaran Maharaja, permaisuri baginda memakai gelaran Maharani. Bandar itu dinamakan atas nama permaisuri yang megiringi Baginda dalam upacara perasmian bandar itu, Maharani Fatimah.

Mersing
Mersing mendapat nama daripada peristiwa penahanan buang daerah seorang pesuruh Sultan Pahang berbangsa Sikh, kerana melakukan kesalahan yang berat. Penahanan ini berlaku sewaktu Mersing belum ramai penduduk. Pekerja tersebut bernama Amer Singh, dan namanya menjadi terkenal di kawasan tersebut hingga menyebabkan tempat itu dikenali dengan nama Mersing.
Cerita lain yang membawa munculnya nama Mersing ialah dari peristiwa seorang dara bernama Mersing mencintai teruna perantau dari Pahang bernama Awang. Oleh kerana Mersing diminati oleh anak penghulu, bapa Mersing memilih anak Penghulu bakal menantunya.
Untuk memisahkan di antara Mersing dengan Awang, timbullah fitnah. Tetapi Awang berjaya membuktikan kesuciannya dengan menghapuskan fitnah tersebut. Akhirnya bapa Mersing bersetuju menerima Awang menjadi suami anaknya. Namun Awang tetap keras hati lalu meninggalkan keluarga Mersing dan penduduk di situ dalam keadaan menyesal. Dari nama dari itu lahirnya nama Mersing dan didendangkan kisahnya dalam lagu Seri Mersing.

Segamat
Nama Segamat berasal dari ungkapan kata ‘segera amat’ atau ‘segar amat’. Kata-kata itu lahir dari mulut Bendahara Tepok dalam pelariannya ke hulu Sungai Muar setelah Melaka ditawan Portugis. Bendahara Tepok yang mengalami penyakit lumpuh terpaksa diusung ke perahu. Ketika sampai ke Lubuk Batu, menurut beliau, segera amat sampainya angkatan pengiring-pengiringnya ke tempat yang selamat, jauh dari ancaman Portugis. Oleh kerana pada hari itu cuaca agak panas, Bendaraha Tepok pun mandilah di situ. Kata Bendahara Tepok setelah mandi, “Segar amat rasa badan ini” kata-kata Bendahara Tepok ini menjadi sebutan ramai pengikutnya hingga kemudiannya menamakan petempatan yang mereka duduki dengan nama Segamat.

Pontian
Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar, tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kecil menjadi Bandar utama bagi daerah Pontian.

Kota Tinggi
Kota Tinggi mengambil nama daripada kota yang dibina di atas kawasan tinggi di tebing Sungai Johor. Pembinaan kota tersebut untuk menangkis serangan Portugis yang berusaha hendak melenyapkan kuasa Kesultanan Melayu yang telah dialahkannya di Melaka pada tahun 1511.
Oleh Kerana Sungai Johor adalah kawasan yang selamat untuk berteduh dari gelora Laut Cina Selatan , ia telah menjadi tumpuan para pedagang sejak zaman silam lagi. Zaman Ptolemy kawasan tersebut dikenali dengan nama Palanda. Banyak tinggalan lama seperti manik dan permata dari zaman Han (SM200 - TM20) dan zaman Empayar Rom pernah ditemui di Kota Tinggi.

Tangkak
Nama Tangkak timbul daripada ‘tang merangkak’. ‘tang’ berasal dari perkataan tentang yakni tempat. Peristiwa itu berlaku ketika peneroka kawasan Tangkak, Long Mahmud tujuh bersaudara terpaksa merangkak naik ke tebing Sungai Tangkak menuju ke Bukit Tambak di kawasan Seri Makmur. Tebing-tebing sungai di kawasan Tangkak adalah lembut dan jerlus kerana paya ditumbuhi pokok-pokok resam, sendayan, pakis dan rembia.

Kluang
Bandar Kluang mengambil nama Keluang Kampung. Keluang sejenis kelawar besar pemakan buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti rambutan, rambai dan lain-lain. Penduduk kampung tersebut berjaya membunuh tupai yang datang ke dusun mereka, tetapi gagal menakutkan keluang yang begitu banyak setiap petang datang ke situ. Keluang yang banyak itu dikatakan datang dari sebuah bukit di belakang kampung mereka (bukit yang dimaksudkan mungkin Gunung Lambak). Akhirnya seorang pawang terpaksa mengadakan suatu upacara di bukit tersebut untuk memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun penduduk kampung tersebut.

Sunday, March 7, 2010

Lagu Bangsa Johor

Allah peliharakan Sultan
'Nugerahkan dia segala kehormatan
sihat dan ria kekal dan makmur
luaskan kuasa
naungkan kami
rakyat dipimpini berzaman lagi
dengan merdeka bersatu hati
Allah berkati Johor
Allah selamatkan Sultan